MUAR 17 Jun – Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk menghentikan program pemutihan 700,000 pekerja asing yang sebelum ini dilaksanakan bagi membolehkan majikan mengambil mereka bekerja secara sah di negara ini.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program berkenaan perlu dikaji semula dan arahan untuk menghentikannya berkuat kuasa akhir bulan ini telah diberikan kepada Jabatan Imigresen.
“Saya langsung tidak bersetuju pendatang haram diputihkan melalui program pemutihan dan diberi kerja.
“Ini melibatkan lebih 700,000 pekerja asing yang dahulunya haram dihalalkan melalui program pemutihan atau pengampunan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.
Muhyiddin memberitahu, tindakan tersebut adalah tidak betul dan semua agensi yang mengurus program tersebut ditamatkan pada hujung bulan ini.
Beliau menambah, langkah berkenaan dibuat ekoran banyak aduan daripada orang ramai yang tidak senang dengan kehadiran berjuta pekerja asing tanpa izin di negara ini.
Katanya, isu besar berkenaan sudah wujud sejak sekian lama sehingga dilihat seolah-olah tiada penyelesaian dan tiada penghujungnya.
“Berbagai pihak terbabit termasuk sindiket-sindiket membawa masuk pekerja melalui saluran tidak betul, penipuan dan skandal rasuah menyebabkan pendatang tanpa izin ada kait mengait dengan pihak berkepentingan,” ujarnya.










