KUALA LUMPUR 21 Jun – Menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) dan pemilihan pucuk pimpinan baharu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Ahad ini, calon Presiden, Datuk Markiman Kobiran tampil dengan peringatan supaya pemilihan itu diadakan dengan telus dan hanya wakil dari badan gabungan yang sah sahaja dibenarkan untuk mengundi.
Menurut beliau, pada pemilihan sebelum ini di Johor, terdapat 73 perwakilan yang dibenarkan untuk membuat pengundian, padahal badan gabungan yang sah untuk mengundi ialah 18 yang setiap badan gabungan diwakili oleh dua perwakilan menjadikan keseluruhan hanya 36 perwakilan sahaja.
“Terdapat masalah interpretasi dalam peruntukan perlembagaan PSM. Daripada bacaan dan penyelidikan saya, setiap kali mesyuarat agung sebelum pemilihan adalah logiknya semua penyandang akan gugur jawatan mereka, daripada presiden, ahli majlis serta termasuklah jawatan-jawatan yang dilantik oleh presiden.
“Yang layak mengundi sepatutnya ialah perwakilan badan gabungan. Itu sahaja…tetapi yang mereka gunakan selama ini…semua sekali layak mengundi termasuk penyandang jawatan. Jadi sudah jadi bertindan,” katanya kepada pemberita pada himpunan ‘gerakan perubahan PSM’ di sini hari ini.
Markiman yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) akan mencabar Datuk Seri Ahmad Ismail, selaku presiden yang meneraju badan induk sepak takraw negara sejak 2002.
Dalam pada itu, Markiman turut menyarankan PSM untuk menjalankan undi secara sulit berbanding undian secara ‘angkat tangan’ seperti diamalkan sebelum ini.
“Soal undi sulit itu memainkan peranan…betul, ada dalam perlembagaan untuk mengadakan undian secara ‘angkat tangan’ tetapi dengan karakter orang Melayu ini yang berbudi bahasa dan segan silu, ia pasti akan merencatkan semangat untuk membawa angin perubahan dalam PSM.
“Saya selalu nasihatkan badan gabungan untuk mengimbangkan antara hubungan baik dengan matlamat asal kita untuk melakukan perubahan tampuk pimpinan PSM selari dengan amanah yang dipikul daripada pemain, peminat dan pemegang taruh sepak takraw di peringkat negeri dan akar umbi,” katanya.
Selain Markiman dan Ahmad Ismail, turut dicalonkan bagi jawatan presiden adalah Datuk Akramudin Abd Aziz yang menyandang jawatan timbalan presiden.
Berhubung khabar angin mengatakan penyandang, Ahmad Ismail bakal menarik diri daripada bertanding jawatan presiden, Markiman berkata beliau masih belum dapat sahkan berita berkenaan.
AGM kali ini dijangka menjadi tumpuan kerana turut membabitkan pemilihan barisan kepimpinan tertinggi PSM selepas tempoh mereka selama tiga tahun berakhir pada September 2017.
Kali terakhir PSM mengadakan AGM ialah pada 31 Dis 2016 dan boleh ditangguh sehingga 18 bulan selepas kali terakhir diadakan. – BERNAMA










