KULAI 30 Jun – Seorang pemandu treler maut apabila kenderaan dipandunya merempuh sebuah lori yang membawa muatan batu-bata di Kilometer 38.5, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 6.40 pagi itu, Azlan Shamsuddin, 46, maut di tempat kejadian dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah sebuah motosikal.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu treler gagal mengawal kenderaannya lalu berlanggar dengan lori yang membawa muatan batu-bata itu.
“Kemalangan itu menyebabkan muatan batu-bata dari lori itu terjatuh dan pada masa sama terkena penunggang motosikal yang berada di lorong sama,” katanya ketika dihubungi, di sini sebentar tadi.
Kemalangan tersebut menyebabkan pemandu treler meninggal dunia di tempat kejadian kerana tersepit, manakala pemandu lori berusia 54 tahun tidak cedera dan penunggang motosikal berusia 29 tahun mengalami cedera ringan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











