KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti keperluan menubuhkan satu jawatankuasa bagi memantau siasatan pasukan penyiasat kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibuu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya akan mengambil kertas siasatan terdahulu bagi meneliti aspek baru untuk meneruskan siasatan.
Katanya, saksi-saksi terdahulu akan dipanggil semula bagi membantu siasatan sekiranya laporan polis yang dibuat bapa mangsa baru-baru ini ada bukti baharu.
“Pasukan penyiasat yang menjalankan siasatan berhubung kes ini akan dipanggil membantu siasatan dan kita berkemungkinan tubuh jawatankuasa untuk memantau penyiasatan yang dilakukan mereka.
“Mahkamah sudah mengeluarkan keputusan berhubung kes pembunuhan Altantuya dan kita akan berbincang dengan Peguam Negara untuk proses siasatan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia kali ke-40 di sini hari ini. – K! ONLINE











