PDRM, imigresen dirombak - Utusan Malaysia

PDRM, imigresen dirombak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR – Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dirombak dan disusun semula berikutan strukturnya yang disifatkan ‘berserabut’, demikian kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, rombakan itu yang hanya dilakukan selepas berjumpa de­ngan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memberikan penjelasan, turut dibuat kerana kedua-dua jabatan tersebut menerima aduan paling tinggi daripada orang ramai dan perkara itu perlu diselesaikan segera.

“Tujuannya tidak lain supaya peranan agensi-agensi di bawah kementerian kita berjalan mengikut dasar-dasar yang ditetapkan kerana kita Kementerian Dalam Negeri (KDN) berdepan berbagai-bagai tanggapan yang agak negatif.

“Selaku menteri saya sedar perkara ini dan ia adalah satu perkara yang tidak baik dari sudut imej dan juga keyakinan dan kepercayaan rakyat jelata kepada KDN,” kata beliau pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini semalam.

Muhyiddin berkata, rombakan itu juga diharap dapat memperbetul dan menyelesaikan beberapa kepincangan yang dikesan dalam agensi berkaitan seperti proses pemutihan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tiada kesudahan.

PDRM kini diterajui Ketua Polis Negara Tan Sri Muhamad Fuzi Harun manakala Pengarah Jabatan Imigresen pula dipegang Datuk Seri Mustafar Ali.

Mengenai isu lain, beliau yakin polis akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menangkap Low Teak Jho atau Jho Low, individu dipercayai suspek utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Arahan untuk menangkap Jho Low dan membawa balik lelaki itu telah lama saya minta PDRM buat. Jadi, tunggulah…,” kata beliau.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 7 Jun lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan kes 1MDB.

Isu rombakan dalam beberapa pe­mimpin tertinggi PDRM sudah tersebar sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri namun Muhyiddin ketika itu menafikan perkara tersebut.

Mengikut khabar angin yang dilapor­kan, antara yang bakal diketepikan ialah Fuzi dan beberapa pengarah pen­ting dalam PDRM.

Lebih mengejutkan khabar angin yang bertiup kencang itu juga turut menamakan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) bakal dihapuskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN