BESUT 4 Jun – Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut yang mengharumkan nama negara dengan menjuarai Pertandingan Projek Nuklear yang diadakan di Gyeongju, Korea Selatan baru-baru ini, diraikan hari ini.
Anggota pasukan KuBest Smart Innovation, Muhammad Syazwan Mat Sidik,19, Muhammad Anuar Abd Ghani, 19, dan Safiyyah Muhammad Nasir, 17, diarak dari Dewan Muara Kuala Besut ke sekolah mereka sejauh kira-kira 1.5 kilometer dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.
Warga sekolah bersama kalangan ibu bapa beratur sepanjang jalan masuk ke sekolah sebelum mereka yang turut diiringi oleh guru pengiring, Wan Zul Azri Wan Mod Shatar dipakaikan dengan selendang merah diiring masuk ke dewan sekolah untuk upacara seterusnya.
Mereka disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman yang mewakili Menteri Besar, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBKG), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut.
Pasukan yang mewakili negara itu dinobatkan sebagai juara peringkat dunia selepas berjaya menumpaskan empat buah pasukan lain dari negara Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea Selatan dalam pertandingan peringkat akhir.
Pertandingan dengan matlamat untuk memupuk minat sains dan teknologi nuklear dalam kalangan pelajar di seluruh dunia itu dianjurkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabanga (IAEA).
Kejayaan ditempa melalui melalui penciptaan aplikasi ‘100 Things About Nuclear Science and Life’ iaitu aplikasi permainan komputer untuk mempromosikan sains nuklear. – UTUSAN ONLINE











