KETAKSUBAN rakyat Malaysia berpolitik sangat ‘mengagumkan’. Mereka boleh berbicara tentang politik tanpa mengira masa dan tempat, waima ketika sedang bekerja, beraya, memandu kereta atau bersembang di kedai kopi sekali pun.
Walaupun pilihan raya hanya berlangsung lima tahun sekali, rakyat Malaysia termasuk kanak-kanak sekolah rendah sudah kenal UMNO, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Warisan Sabah (Warisan), MIC, MCA dan DAP.
Ada yang berhujah dengan berpaksikan fakta dan disokong oleh faktor kebenaran. Namun tidak kurang juga mengeluarkan kata-kata jelik sehingga menyakitkan hati pihak sebelah dan akhirnya mencetuskan perbalahan dan caci maki.
Semua ini adalah warna-warni dalam kehidupan jutaan rakyat Malaysia yang semakin terbuka dalam melontarkan pandangan masing-masing. Ada yang menegur secara berhemah dan sangat berhati-hati tetapi ada juga yang mengikut nafsu tanpa berfikir panjang kesan di sebalik kata-kata keras mereka.
Rata-rata kakitangan awam di Putrajaya juga tidak terlepas daripada turut bercakap perkara sama tentang perkembangan terbaharu di sekeliling mereka. Masakan tidak kerana ada yang memilih untuk memangkah Barisan Nasional (BN) dan ramai juga yang mahu mencari pembaharuan sehingga kerajaan memerintah bertukar tangan.
Jika diperhatikan di Facebook contohnya, harapan sebilangan besar netizen ialah mahukan kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji-janji yang telah dibuat dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan mereka mula mempersoalkan kemampuan kerajaan untuk memenuhi kehendak para pengundi.
Menurut mereka, sudah sampai masanya untuk kerajaan berusaha sedaya mungkin melunaskan janji-janji tersebut tanpa memberikan alasan kononnya Pakatan Harapan tidak sangka boleh menang dan mendakwa manifesto bukan janji yang perlu mengikat mereka untuk mengotakannya.
Kini, semakin ramai yang meluahkan kekecewaan apabila harga barang tidak turun seperti diharapkan walaupun cukai barang dan perkhidmatan (GST) sudah berada pada kadar sifar. Ini kerana peniaga tetap mengaut keuntungan walaupun amaran keras sudah diberikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.
Begitu juga dalam soal penurunan harga minyak, impian rakyat untuk menikmati harga petrol RM1.50 sen seliter seperti hanya satu ‘harapan’ yang sangat memeritkan. Alasan yang diberi adalah kerajaan sudah menanggung RM3 bilion subsidi minyak sehingga hujung tahun ini.
Alasan hutang negara sering kali dijadikan modal dan suka atau tidak rakyat perlulah berlapang dada untuk menerima penjelasan kerajaan itu, kerana saban hari rakyat dimaklumkan hutang negara menjadi punca janji-janji itu tidak dapat ditunaikan.
Jika dahulu kerajaan sekarang adalah pembangkang, sekarang ini mereka sudah duduk di dalam pejabat-pejabat kerajaan dan sudah tentunya alasan-alasan yang diberikan semakin sukar untuk diterima bulat-bulat oleh rakyat yang mengharapkan imbuhan daripada mereka.
Kebelakangan ini rakyat dikejutkan pula oleh isu-isu lain seperti penggunaan bahasa Mandarin dalam urusan rasmi kerajaan, mempersoalkan status dan hak orang Melayu Islam dan mereka mula menyifatkan perkembangan ini sudah mula membawa bibit-bibit perpecahan dalam perpaduan kaum di Malaysia.
Orang Melayu nampaknya mula ‘tersentak’ dan ada yang sudah terluka dengan perkembangan yang selama ini dibimbangi akan berlaku. Jika dalam kempen pilihan raya lalu ada pemimpin yang mendakwa UMNO sengaja menggunakan isu agama dan perkauman untuk menakut-nakutkan rakyat agar tidak memilih parti-parti tertentu tetapi nampaknya semakin jelas apa yang dibimbangi itu mula berlaku secara perlahan-lahan.
Ibarat api dalam sekam, dasarnya nampak molek namun di bawahnya mula membakar secara diam. Adakah orang Melayu mula melihat garis sempadan yang selama ini dijaga rapi semakin terobek dan terbelah? Adakah ia amat pedih dan menyakitkan?
Harapan rakyat harus dipandang serius. Jangan nanti sehingga menangkis keyakinan dan kepercayaan mereka kepada kerajaan.










