PUTRAJAYA 22 Jun – Penolong Pengarah Bahagian Kewangan dan Pasaran Modal Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus diumumkan sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu berkuatkuasa 1 Julai ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pelantikan Nor Shamsiah yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 19 Jun lalu dengan kontrak selama lima tahun sehingga 30 Jun 2023.
Sebelum ini, Nor Shamsiah pernah berkhidmat sebagai Timbalan Gabenor BNM dari 2010 hingga 2016 dan bertanggungjawab ke atas pelbagai perkara termasuk penyeliaan perbankan, insurans dan takaful, perisikan kewangan, penguatkuasaan, pengurusan bakat dan perkongsian perkhidmatan.
“Tahniah kepada Datuk Nor Shamsiah, beliau adalah wanita yang berkebolehan dan mendapat keyakinan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman Gabenor BNM baharu di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Hadir sama, Nor Shamsiah serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.
Pada 6 Jun lalu, Dr. Mahathir mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim yang baharu berkhidmat selama dua tahun sejak 1 Mei 2016.
Nor Shamsiah yang merupakan Akauntan Bertauliah dan graduan University of South Australia merupakan individu yang terbabit dalam inisiatiaf resolusi kewangan semasa krisis kewangan Asia akhir 1990-an.
Beliau juga menjalankan peranan penting dalam pembentukan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2001-2010) dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan (2011-2020).
Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, beliau merakam penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri dan kerajaan untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.
“Saya rasa berbesar hati dan akan menggalas tanggungjawab ini dengan sebaiknya dan bekerja secara sepasukan dengan kakitangan lain di BNM.
“BNM akan meneruskan tumpuan untuk menyampaikan mandat bagi menjaga kestabilan kewangan demi kepentingan negara,” katanya.
Sementara itu, mengenai keutamaan yang akan diberikan dalam menerajui Bank Negara, Nor Shamsiah berkata, masih terlalu awal untuk beliau membuat ulasan kerana tugasnya akan bermula 1 Julai ini.
![]() |
|
|
“Saya sudah tinggalkan BNM dua tahun. Saya kena masuk pejabat dan jumpa pegawai dan kakitangan BNM dahulu sebelum tentukan keutamaan berkenaan,” katanya.
Beliau turut ditanya mengenai isu penurunan nilai Ringgit, namun enggan memberi komen mengenai perkara itu.
Sementara itu, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menyambut baik pelantikan bekas timbalannya, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus untuk mengetuai bank pusat itu.
Beliau memberitahu, pelantikan itu merupakan satu penghormatan yang diberikan kerajaan Pakatan Harapan kepada Bank Negara selaku sebuah institusi perbankan yang bebas.
“Ini adalah keputusan yang sangat baik oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita di Menara Ilham di sini hari ini.
Zeti yakin, Nor Shamsiah yang mempunyai pengalaman hampir 30 tahun berkhidmat di bank pusat itu dapat mengalas tugas dengan baik.
Ketika ditanya sama ada beliau yang mencadangkan nama Shamsiah untuk menjawat jawatan itu, Zeti berkata:“No comment (tiada komen).”
Nor Shamsiah sebelum ini disebut-sebut untuk menggantikan Muhammad Ibrahim sebagai gabenor, yang berhenti ketika pelbagai persoalan dibangkitkan mengenai perjanjian pembelian tanah BNM yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).











