KUALA LUMPUR 18 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersyukur kerana projek Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang diusahakan dan dilancarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bersama Alibaba Group Holding Ltd. Alibaba) tidak dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Najib berkata, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Alibaba kerana telah membuka pejabat baharu di sini yang merupakan pejabat pertama di Asia Tenggara dan pertama di luar China.
“DFTZ dijangka mencipta 60,000 pekerjaan, menggalakkan barangan dagangan bernilai USD65 bilion (RM259.9 bilion) dan menggandakan jumlah kargo untuk Malaysia menjelang 2025.
“Inisiatif seperti DFTZ juga merupakan alat bagi mempersiapkan golongan muda untuk pekerjaan baharu,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Menurut Najib, ekonomi digital adalah sektor yang paling pesat berkembang dalam ekonomi negara ini.
“Ia kini menyumbang 18.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita dan dijangka tumbuh dan menyumbang 20 peratus kepada KDNK negara kita menjelang 2020,” katanya. -UTUSAN ONLINE










