PUTRAJAYA 25 Jun – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberi laporan terperinci mengenai isu penahanan peguam Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim sebelum sebarang tindakan diambil.
Muhyiddin berkata, selaku Menteri Dalam Negeri beliau perlu mengimbangi kepentingan awam dan kepentingan individu tanpa mengganggu siasatan polis.
“Saya mengambil maklum pandangan orang ramai mengenai isu tindakan siasatan polis terhadap Siti Kasim berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat oleh ibu bapa yang mengatakan anak mereka telah diculik.
“Saya juga mengambil maklum mengenai respon Siti Kassim bahawa pada masa tersebut, beliau bertindak sebagai peguam kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, tular dalam media sosial mengenai tindakan rakan-rakan Siti Kassim yang tidak berpuashati dengan penahanan wanita tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
Penahanan tersebut dibuat selepas satu laporan polis dibuat oleh seorang wanita mengenai anak perempuannya yang berusia 24 tahun dipercayai dilarikan oleh Siti Kassim semasa menjalani rawatan psikatri di Hospital Kajang.
Menurut Muhyiddin, beliau bersetuju mengenai hak individu untuk mendapatkan bantuan guaman dan hak untuk bertindak tanpa dipengaruhi atau diugut oleh mana-mana pihak
“Sementara itu, saya mengambil maklum bahawa permohonan polis untuk menahan reman Siti Kassim telah ditolak oleh mahkamah semalam, konsisten dengan kossep pembahagian kuasa peranan mahkamah adalah untuk menentukan kesahihan tindakan polis dan untuk mengimbangi segala hak-hak yang telah termaktub di bawah perlembagaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










