KOTA BHARU – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu percaya kerajaan Persekutuan tidak akan lupa untuk melantik sekurang-kurangnya seorang Senator yang menjawat jawatan menteri atau timbalan menteri dari Kelantan dan Terengganu walaupun Pakatan Harapan (PH) gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen di kedua-dua negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, perkara itu akan dibincangkan oleh pakatan tersebut dan terserah kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memutuskannya.
“Saya yakin dua negeri ini tidak akan dilupakan, saya yakin akan ada (lantikan Senator) lagipun sekarang ini Kabinet penuh belum lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Bersama Menteri Pertahanan anjuran Pakatan Harapan Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan 13 Menteri Kabinet baharu dan jumlah akhir dijangka mencecah 28 orang setelah ditambah wakil dari Sabah dan Sarawak. – Bernama










