MOSCOW 17 Jun – Seorang tukang kebun terkejut selepas menemukan tengkorak manusia ketika menanam kentang di kediamannya di Omsk, Siberia baru-baru ini tanpa menyedari tengkorak itu adalah bekas suami pertama isterinya.
Mail Online melaporkan, misteri penemuan tengkorak itu terbongkar selepas isterinya mengaku bahawa dia telah membunuh suami pertamanya dan menanam mayat lelaki tersebut di kawasan laman kediaman mereka.
Wanita berusia 60 tahun itu turut mendedahkan beberapa bekas suaminya sebelum ini pernah menemukan tengkorak tersebut dan meminta mereka merahsiakan insiden berkenaan daripada pihak berkuasa.
Namun, tukang kebun tersebut tidak mengendahkan larangan itu dan membuat laporan polis.
Dalam pengakuannya, wanita berkenaan mengaku membunuh suami pertamanya dengan menggunakan kapak selepas bertengkar ekoran lelaki itu pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan memukulnya sejak 20 tahun lalu.
Selepas memukul suaminya dengan kapak, wanita itu kemudiannya mengerat bahagian badan lelaki tersebut dan menanamnya di bahagian laman yang menempatkan kawasan tanaman kentang.
Selepas kejadian itu, wanita tersebut berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku sehingga dia berkahwin dengan suami baharu.
Hasil siasatan polis turut menemukan sejumlah tulang lagi dan wanita itu dikenakan tahanan rumah ketika siasatan dilakukan.
Wanita tersebut berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika disabit kesalahan.










