Merasa pakai baju Jakel - Utusan Malaysia

Merasa pakai baju Jakel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 7 Jun – Seorang pelajar Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS), Siti Nurmaslina Asiruddin, 16,tersenyum riang, sejak awal pagi lagi dia sudah bersiap-siap selepas diberitahu ada pihak yang akan membawa dia dan rakan-rakannya membeli baju raya di gedung terkemuka.

Sebagai anak yatim dan hidup dalam serba kekurangan, Nurmaslina tidak pernah merasa nikmat membeli-belah terutama baju raya bagi menyambut ketibaan hari lebaran itu.

Namun hasil sumbangan perseorangan dan Jakel, dia bersama 29 lagi rakannya yang merupakan anak golongan kurang bernasib baik berpeluang memilih sendiri pakaian masing-masing untuk digayakan di pagi 1 Syawal nanti.

Siti Nurmaslina memberitahu, dia sendiri tidak pernah terfikir untuk memiliki baju raya daripada koleksi Jakel kerana mengetahui harganya adalah diluar kemampuan keluarga.

“Tetapi selepas mengetahui saya terpilih untuk mendapat sumbangan ini dan memilih sendiri baju raya di Jakel, perasaan gembira berbaur hiba sukar untuk digambarkan.

“Hanya lafaz syukur yang dapat saya panjatkan kerana berpeluang dan merasa untuk mengenakan baju raya daripada Jakel di pagi raya nanti,” katanya ketika ditemui dalam program Sumbangan Baju Raya Jakel bersama SSMS di sini baru-baru ini.

Bagi Mirach Han, 17, pula menyifatkan penganjuran program tersebut dapat membangkitkan semangat dan suasana untuk menyambut Aidilfitiri.

“Sebelum ini, ibu bapa yang akan tentukan baju raya dan persiapan mereka yang buat.

“Tetapi dengan adanya program ini ia membuatkan saya puas kerana dapat memilih sendiri dan saya semakin tidak sabar untuk meraikan hari raya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Jakel Cawangan Sabah, Muhammad Aizad Shamsuddin berkata, seramai 30 anak-anak kurang berkemampuan dan anak yatim menerima manfaat daripada sumbangan tersebut.

“Program ini merupakan sumbangan perseorangan kepada pelajar di sekolah berkenaan dan pihak Jakel memberi tajaan potongan harga sehingga 20 peratus.

“Masing-masing memperoleh sepasang baju Melayu beserta sampin dan songkok manakala wanita pula mendapat sepasang baju kurung dan tudung,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN