PELABUHAN KLANG – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyifatkan kehadiran kapal-kapal perang asing di Laut China Selatan tidak selamat untuk negara-negara di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Beliau berkata, Laut China Selatan hendaklah berada dalam keadaan aman dan Malaysia akan terus berjuang untuk mengekalkan status sebagai negara berkecuali, neutral dari zaman Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak hingga kini.
“Kita tidak mahu sebarang konflik ketenteraan khasnya di Laut China Selatan di mana negara mempunyai kepentingan ekonomi berkaitan minyak dan perikanan yang dijumpai di situ.
“Oleh itu hendaklah mereka menghormati perairan termasuk perairan antarabangsa kerana dekat dengan negara jiran,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai menjawab kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam yang menetapkan polisi tiada kapal perang negara asing boleh ditempatkan di Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Terdahulu, Mohamad meluangkan masa berbuka puasa bersama lebih 200 pegawai dan anggota Kapal Diraja (KD) Mahawangsa yang berlayar di sekitar perairan Selat Melaka.
Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Dalam pada itu, Mohamad turut menyatakan perasaan teruja dan bangga selepas berpeluang menaiki kapal KD Mahawangsa buat kali pertama.
“Walaupun umur kapal ini sudah berusia 37 tahun tetapi ia masih kukuh dan dengar bunyi enjinnya sedap sahaja.
“Saya selalu juga naik kapal-kapal nelayan tetapi ini kapal besar dan saya dapat melihat sendiri keupayaannya,” katanya. – K! ONLINE










