Masih terlalu awal untuk tentukan prestasi ekonomi domestik - pakar - Utusan Malaysia

Masih terlalu awal untuk tentukan prestasi ekonomi domestik – pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Keadaan masih terlalu awal untuk menentukan sama ada pasaran modal domestik dan tukaran asing akan menyaksikan prestasi tidak sihat, berdasarkan aliran penyusutan secara am yang dilihat sejak beberapa minggu lepas, demikian pandangan beberapa penganalisis dan pakar ekonomi.

Ini berikutan sikap pelabur yang sebaliknya mengamalkan pendirian selamat dan selesa berada di luar pasaran sementara menunggu petunjuk konkrit yang diumumkan oleh kerajaan baharu di bawah pimpinan Pakatan Harapan.

“Aliran penurunan (di pasaran) adalah biasa, terutamanya selepas berlakunya pertukaran kerajaan. Lazimnya pasaran akan mengukuh semula dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, adalah terlalu awal untuk menentukan arah atau hala tuju pasaran. Kita juga masih belum memiliki barisan Kabinet yang lengkap,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Hermana Capital Bhd., Datuk Nazri Khan Adam Khan.

Beliau berkata, pelabur juga perlu mendapatkan gambaran lebih jelas daripada kerajaan baharu membabitkan aspek dasar memandangkan manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas adalah terlalu meluas.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura berikutan kos kewangan yang tinggi.

Projek Transit Aliran Massa Laluan 3 turut dibatalkan manakala Projek Laluan Rel Pantai Timur pula dalam proses disemak semula.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Ramlan Pointon Consultants Sdn. Bhd., Jorah Ramlan berkata, pasaran tempatan mengamalkan sikap tunggu dan lihat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dasar-dasar kerajaan baharu.

“Penyusutan nilai ringgit dan Bursa Malaysia bukanlah terlalu mendadak atau sebegitu drastik. Pelabur sebenarnya hanya menunggu masa untuk memanfaatkan keadaan apabila peluang muncul,” katanya kepada Bernama.

Jorah berkata, Malaysia kekal sebagai negara mesra pelabur dengan prospek ekonomi yang cerah walaupun berlaku jualan kecil tukaran asing, ekuiti serta di pasaran modal yang dilihat sebagai bersifat sementara. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini