BAGHDAD 18 Jun – Sebuah pusat beli-belah mewah di sini menerima kecaman hebat daripada masyarakat selepas didakwa tidak membenarkan pasukan sukarelawan dan rombongan anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat peperangan daripada memasuki premis tersebut.
Jurucakap kumpulan persatuan anak yatim Ruhmaa Benahm, Ibrahim Taha berkata, dia ingin membawa kesemua 25 orang anak yatim tersebut ke sebuah restoran dan taman permainan yang terletak dalam pusat beli-belah berkenaan sebagai hadiah sempena cuti Aidilfitri.
Jelasnya, restoran itu sudah ditempah dan dibayar namun pihaknya tetap tidak dibenarkan masuk.
“Rombongan kanak-kanak itu tidak dibenarkan masuk kerana mungkin tertera nama pertubuhan anak yatim pada tempahan yang sudah dibuat.
“Apabila saya tiba di restoran tersebut, pengurusnya enggan membenarkan kami masuk dengan alasan kanak-kanak tersebut akan mengganggu taman permainan dan operasi restoran,” katanya.
Anak-anak yatim tersebut berusia antara tujuh hingga 15 tahun.
Kumpulan sukarelawan itu sempat merakamkan insiden tersebut di depan pusat beli-belah Mansour yang merupakan pusat beli-belah terbesar di Baghdad dan dibina pada 2013 dengan kos AS$35 juta (RM139 juta).
Video itu dikongsikan hampir 5,000 kali di media sosial menyebabkan pihak pengurusan mengeluarkan kenyataan bahawa rombongan tersebut hanya diminta menunggu di luar sebentar sementara menyediakan tempat untuk mereka makan.
Kenyataan itu juga memaklumkan mereka terkejut dengan penularan video berkenaan dan menegaskan apa yang berlaku adalah prosedur biasa sebelum mana-mana pihak datang untuk makan di restoran terbabit.
Namun, pengguna Twitter dan Facebook yang marah menyatakan bahawa perkara itu tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi dengan suhu di luar yang panas sehingga mencecah 40 darjah celsius.
Sehubungan itu, mereka melancarkan #boycott pusat beli-belah Mansour sebagai bantahan terhadap tindakan tersebut dan sehingga kini sudah digunakan sebanyak 15,000 kali, sekali gus menjejaskan tahap penarafan premis tersebut daripada lima bintang kepada satu bintang dalam tempoh beberapa jam. – AFP










