ALOR SETAR – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin selepas membongkar makmal memproses dadah yang disyaki beroperasi di sebuah rumah di Taman Gunung di sini sejak tiga bulan lalu.
Serbuan dilakukan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri di rumah sewa dua tingkat tersebut kira-kira pukul 2.45 pagi kelmarin.
Turut ditahan lapan individu berusia antara 27 hingga 57 tahun termasuk seorang dalang utama serta orang kelainan upaya (OKU) yang merupakan pakar dalam memproses dadah berkenaan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya bertindak menahan dua lelaki yang merupakan seorang lelaki tempatan dan lelaki OKU warga Singapura.











