PULANG ke kampung halaman menjelang Hari Raya Aidilfitri merupakan saat yang paling dinantikan oleh setiap anak rantau. Ia bagaikan perkara yang ‘wajib’ dilakukan setiap kali menjelang hari kemenangan buat umat Islam itu.
Sejak berdekad lalu, Aidilfitri sudah sinonim dengan kemestian menyambutnya di kampung halaman, menikmati hidangan ketupat dan rendang serta menu istimewa lain bersama keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan kenalan.
Namun, ada juga dalam kalangan kita menjadikan cuti umum sempena hari raya sebagai waktu untuk mereka bercuti atau ‘makan angin’ di destinasi menarik termasuk di luar negara.
Ia bagaikan sudah menjadi satu trend dalam masyarakat kita apabila semakin ramai dalam kalangan umat Islam di negara ini melakukan perjalanan jauh untuk bercuti pada hari raya.
Walaupun perkara itu tidak salah, ia mungkin sedikit janggal dalam budaya kita.
Bukan tidak mahu merasai kegembiraan berhari raya di kampung halaman, tetapi mereka mempunyai alasan tersendiri.
Bagi yang bukan beragama Islam, tentu kita faham bahawa mereka mengambil peluang cuti umum hari raya untuk pergi ‘makan angin’.
Zainatul Asikin Yatim, 46, berkata, setiap kali tibanya Aidilfitri, dia dan keluarga akan bercuti di destinasi pelancongan domestik dan luar negara.
“Selepas ibu saya dan ibu mentua meninggal dunia, suasana berhari raya dirasakan semakin suram.
“Walaupun saya masih ada adik beradik dan sanak saudara, tetapi perasaannya tidak sama ketika ibu bapa masih ada,” katanya kepada S2.
Atas sebab itu, Zainatul Asikin berkata, percutian pada hari raya dilakukan sejak tahun lalu iaitu di Bandung, Indonesia.
Beliau bersama suami dan empat anak-anak terbang ke negara itu pada hari raya kedua. Tahun lalu Aidilfitri jatuh pada 26 dan 27 Jun 2017.
“Kami sekeluarga menyambut lebaran di rumah pada hari raya pertama dan terbang ke Bandung pada hari kedua raya,” katanya.
Mengakui masih merindui suasana beraya bersama sanak-saudara dan keluarga di kampung halaman, Zainatul Asikin memberitahu, hidupnya dan suami seolah-olah kosong apabila sejak ketiadaan ibu dan ayah.
“Jadi, kami bercuti ke tempat-tempat menarik. Sekurang-kurangnya dapat mengisi kekosongan jiwa, selain dapat berehat kerana penat bekerja,” katanya.
Tambahnya, dengan bercuti di luar negara, dia dan suami dapat mengeratkan hubungan dan kasih sayang dengan anak-anak yang pada hari biasa, kesemua mereka sibuk dengan dunia persekolahan.
Menurutnya, selepas dia sekeluarga pulang ke tanah air, barulah mereka akan menziarahi saudara terdekat.
Mengenai peruntukan, dia dan suami biasanya akan membelanjakan bawah RM10,000 untuk percutian pada hari raya.
Justeru, untuk mengumpul dana bagi tujuan itu, dia dan suami akan bekerja keras supaya wang simpanan mencukupi menjelang tarikh percutian.
Sementara itu, Nurulezani Mat Isa, 41, berkongsi pengalaman bercuti di Jakarta, Indonesia ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 2015.
“Sebelum ini, kami biasanya pulang beraya di Melekek, Alor Gajah di Melaka. Namun, sejak nenek dan datuk meninggal dunia, kami tidak lagi menyambut hari raya di sana sejak lebih 10 tahun lalu.
“Disebabkan setiap tahun beraya di Kuala Lumpur, maka kami merancang untuk melakukan sesuatu yang baru. Justeru, pada Aidilfitri 2015, kami mencari kelainan dengan bercuti di luar negara. Lagipun peluang bercuti bersama keluarga hanya ada pada masa itu sahaja,” katanya.
Meskipun bercuti di luar negara, namun dia dan keluarga masih meraikan Aidilfitri bersama penduduk tempatan di negara itu.
“Memang seronok. Kita boleh lihat perbezaan budaya dan kepelbagaian makanan yang terdapat di sana,” katanya.










