Lukaku, Hazard ketuai amukan Belgium - Utusan Malaysia

Lukaku, Hazard ketuai amukan Belgium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW 23 Jun – Belgium selangkah lagi untuk layak ke peringkat kalah mati selepas dua jaringan Eden Hazard dan Romelu Lukaku membantu mereka membenam Tunisia 5-2 dalam perlawanan kedua Kumpulan G, Piala Dunia 2018 sebentar tadi.

Perancang utama Chelsea, Hazard membuka jaringan skuad Red Devils seawal minit keenam menerusi sepakan penalti, sebelum Lukaku menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-16.

Walaupun Tunisia cuba melawan dengan merapatkan jurang 2-1 menerusi Dylan Bronn di minit ke-18, namun jaringan Lukaku pada minit ke-48 memastikan Belgium menutup babak pertama dengan mendahului 3-1.

Hazard tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila meledak gol peribadi keduanya pada minit ke-51, sebelum Michy Batshuayi melengkapkan gol kelima di hujung permainan.

Ketika perlawanan seperti akan berakhir dengan keputusan 5-1, Tunisia memperoleh gol saguhati pada minit ketiga waktu kecederaan menerusi Wahbi Khazri.

Belgium yang membenam Panama 3-0 dalam perlawanan pembukaan kini menerajui Kumpulan G dengan enam mata.

Mereka akan mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati andai England mengalahkan Panama dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G esok. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN