LUBUK BAYAS TARIKAN HULU TERENGGANU - Utusan Malaysia

LUBUK BAYAS TARIKAN HULU TERENGGANU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lubuk Bayas di Kampung Menerong yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Terengganu mempunyai daya tarikan tersendiri. Walaupun tanpa publisiti, semakin ramai orang tertumpu untuk berkelah di kawasan tersebut.

Dengan pemandangan yang menghijau dan mendamaikan, kejernihan serta dingin aliran air yang cetek serta tebing pasir memutih menjadikan lokasi ini sesuai untuk aktiviti berkelah bersama keluarga.

Tinjauan S2 mendapati kawasan ini yang masih belum terusik oleh pembangunan dan pencemaran mempunyai potensi besar untuk tarikan pelancongan.

Seorang penduduk yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zainuddin Mohd. berkata, kawasan perkelahan itu dibuka oleh penduduk kampung bagi memenuhi kegiatan santai.

“Namun dari semasa ke semasa, Lubuk Bayas semakin terkenal dan sesuai dijadikan pusat perkelahan. Apatah lagi Kampung Menerong merupakan Pusat Pertumbuhan Mukim bagi Kawasan Hulu Berang. 

“Di sini, tiada lubuk atau arus deras dan kedalaman air pula sesuai untuk semua peringkat umur. Jadi, tiada kebimbangan keluarga untuk risiko berlaku kejadian lemas.

“Justeru, saya mengesyorkan orang ramai agar datang berkunjung ke sini,” ujar Zainuddin ketika ditemui di Kampung Menerong.

Tambahnya lagi, kemudahan asas turut disediakan seperti tandas, tempat persalinan dan wakaf bagi kegunaan pengunjung, selain kedai-kedai makan yang menawarkan aneka menu.

“Kita juga sedang membangunkan pusat pertumbuhan desa yang akan menyediakan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan hasil produk daripada penduduk Hulu Berang.

“Pusat ini akan beroperasi sebagai pusat pengeluaran bahan makanan seperti pisang, jagung serta ternakan lembu susu,” katanya lagi.

Seorang pengunjung yang ditemui, Yuthnil Akmal Che Mat Duzki, 48, dari Felda Bukit Bading berkata, Lubuk Bayas menjadi pusat perkelahan utama keluarga setiap kali tiba cuti sekolah.

“Saya dan keluarga suka datang ke sini kerana suasananya yang nyaman, airnya jernih, landskap semula jadi yang menarik dan yang lebih penting, kawasannya selamat untuk anak-anak mandi-manda.

“Biasanya, kami datang beramai-ramai untuk berkelah di sini. Malah kami turut memasak di tepi sungai sambil melihat anak-anak mandi. Seronok sangat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN