LAWAS – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Lawas di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, mangsa, Hujan Gimbam, 64, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream keluar secara tiba-tiba dari simpang sebelum melanggar kereta Perodua Axia yang bergerak dari Punang menuju ke pusat bandar Lawas.
Jelasnya, impak kemalangan itu telah menyebabkan Perodua Axia tersebut berpusing lalu merempuh sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang mangsa.
“Mangsa kemudian tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan pada anggota badannya.
“Pemandu serta penumpang Perodua Axia itu pula mengalami kecederaan ringan manakala empat penumpang serta pemandu Honda Stream tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson menambah mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Lawas untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. – K! ONLINE










