ALOR SETAR 17 Jun – Seorang pekerja subkontraktor bagi sebuah syarikat pengawalan serangga perosak maut selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan asrama Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Merbok, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Md. Azi Mohd. Yusof, 34, meninggal dunia selepas hampir lapan jam mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga pekerja lain menjalankan kerja-kerja menangkap burung merpati di tingkat empat bangunan asrama berkenaan.
“Ketika kejadian, mangsa menghalau burung-burung merpati tersebut bagi membolehkan pekerja yang lain menangkapnya.
“Lelaki itu kemudian telah terpijak siling bumbung lalu terjatuh ke aras bawah bangunan. Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Sazalee, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 10.55 pagi.
“Pihak hospital akan membuat bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.










