Lelaki dibogel selepas ditangkap pecah rumah - Utusan Malaysia

Lelaki dibogel selepas ditangkap pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Jun – Cubaan seorang lelaki warga Bangladesh melarikan diri selepas dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Jalan Sungai Kampung Puah, Lembah Gombak di sini gagal apabila dia ditangkap orang awam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, suspek yang hanya memakai seluar dalam dikatakan telah memecah masuk ke dalam rumah tersebut melalui tingkap dapur kediaman itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek berusia 43 tahun itu dikatakan membuka baju dan seluarnya sebelum masuk ke rumah tersebut kerana takut pakaiannya tersangkut pada tingkap dapur rumah mangsa.

Ujarnya, suspek dikatakan telah mengambil sebuah beg tangan dan dompet wanita yang mengandungi kad pengenalan milik isteri dan anak-anak mangsa sebelum melarikan diri.

“Suspek yang hanya memakai seluar dalam terus berjalan kaki keluar dari rumah mangsa namun perbuatannya disedari beberapa jiran lelaki mangsa yang kebetulan sedang berbual di luar rumah.

“Suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan terus ditahan sebelum kumpulan lelaki tersebut bertindak membogelkannya lalu memaklumkan kejadian kepada mangsa,” katanya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Roy memberitahu, susulan daripada itu, mangsa terus melakukan pemeriksaan di dalam rumahnya dan mendapati besi tingkap dapur telah dipatahkan serta beberapa keping cermin juga telah ditanggalkan.

“Ekoran itu, mangsa terus menghubungi pihak polis sebelum menyerahkan suspek untuk tindakan seterusnya.

“Semakan lanjut ke atas suspek mendapati, ini merupakan kali pertama suspek melakukan kegiatan pecah rumah dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN