KUALA LUMPUR 18 Jun – Dana asing terus meninggalkan saham tempatan di Bursa Malaysia pada kadar yang lebih besar minggu lepas, menandakan penjualan asing untuk minggu ketujuh berturut-turut.
Menurut MIDF Research, data Bursa Malaysia tidak termasuk tawaran luar pasaran menyaksikan jumlah bersih yang dilepaskan oleh pelabur asing melepasi paras RM1 bilion iaitu RM1.21 bilion.
“Setakat Jumaat minggu lalu, aliran penjualan telah berlanjutan sehingga 28 hari, hanya kurang sehari berbanding penjualan selama 29 hari pada awal Januari hingga pertengahan Februari 2014,” jelas MIDF Research dalam nota kajian di sini hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, penjualan pada Isnin minggu lalu berada di atas paras RM200 juta iaitu RM216.5 juta, sebelum meningkat kepada RM359 juta pada Selasa.
“Pelabur berasa gusar pada Selasa ketika sidang kemuncak bersejarah antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara yang turut mengheret turun FBM KLCI sebanyak 0.66 peratus kepada 1,764 mata,” jelasnya.
MIDF Research memberitahu, aktiviti penjualan pada Rabu kembali kepada paras Isnin apabila pelabur global hanya menjual RM230.4 juta di tengah-tengah mood risiko yang lembab apabila pelabur menunggu keputusan Rizab Persekutuan AS mengenai kadar faedah.
Jelasnya lagi, penjualan asing pada minggu lalu memuncak pada Khamis dengan sebanyak RM402.2 juta sebelum bursa tempatan terbabit ditutup sempena Hari Raya Aidilfitri pada Jumaat.
“Perlu diingatkan bahawa rakan Asia lain seperti Korea Selatan, Taiwan, Filipina dan Thailand juga mengalami aliran keluar yang besar pada hari tersebut disebabkan oleh kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.
“Malaysia mencatatkan aliran keluar mingguan kedua terbesar di antara empat pasaran ASEAN yang dipantau selepas Thailand,” jelas firma penyelidikan itu.
Bagaimanapun jelas MIDF Research, sehingga hari ini, aliran keluar daripada Malaysia berjumlah RM4.23 bilion bersamaan dengan AS$1.06 bilion yang juga masih terendah dalam kalangan rakan ASEAN seperti Thailand, Filipina dan Indonesia.
“Penyertaan asing adalah kukuh kerana purata nilai dagangan harian meningkat sebanyak 24 peratus kepada RM2.03 bilion, minggu ke-11 berturut-turut melebihi paras RM1 bilion.
“Sementara itu, pasaran runcit dan dana tempatan turut mencatatkan aktiviti pembelian masing-masing bagi minggu kelima dan ketujuh berturut-turut,” jelas firma penyelidikan tersebut.








