PAHOA, Hawaii – Anggota Pengawal Kebangsaan, polis, dan bomba memindahkan kumpulan penduduk terakhir dari kediaman mereka di hujung timur Pulau Besar, Hawaii kelmarin, beberapa jam sebelum lahar gunung berapi Kilauea menutup jalan raya menuju ke kawasan itu, kata beberapa pegawai.
Aliran lahar selebar tiga padang bola sepak melitupi lebuh raya berdekatan sebuah simpang di Kapoho, komuniti tepi pantai yang dibina semula selepas letusan Kilauea pada tahun 1960.
Aliran lahar itu mengakibatkan Kapoho dan kawasan berdekatan, Vacationland terputus hubungan jalan darat, demikian menurut agensi Pertahanan Awam Daerah Hawaii.
Balai Cerap Gunung Berapi Hawaii melaporkan lewat kelmarin bahawa lahar turut memusnahkan sebuah tasik dengan menyejatkan semua airnya.
“Lahar mengalir ke dalam Tasik Hijau di Kawah Kapoho, menyebabkan kepulan wap naik ke udara. Tinjauan dari udara oleh Jabatan Bomba Daerah Hawaii mendapati tasik tersebut sejat sepenuhnya,” kata laporan itu.
Dianggarkan seramai 500 orang tinggal di Kapoho tetapi pihak berkuasa tidak pasti sama ada masih terdapat penduduk yang belum berpindah.
Sejumlah 2,000 orang lagi dipindahkan dari kejiranan Leilani Estates, sebuah kawasan menghala ke barat di mana berpuluh-puluh kediaman sama ada musnah dan terputus hubungan akibat lahar yang mengalir sejak 3 Mei lalu. – Reuters









