IPOH 26 Jun – Kerajaan negeri akan memecat lebih ramai pegawai kanan daripada beberapa lagi syarikat milik kerajaan negeri (GLC) yang dilantik di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu.
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan tersebut perlu setelah didapati syarikat terlibat mempunyai terlalu ramai pegawai kanan melebihi keperluan serta tidak membuat keuntungan yang banyak.
Bagaimanapun, kata Ahmad Faizal, pihaknya tidak akan terburu-buru melakukan perkara tersebut berikutan pegawai kanan yang berkhidmat di GLC di negeri ini itu masih terikat dengan kontrak perkhidmatan mereka.
Jelas beliau yang enggan mendedahkan identiti GLC terlibat, sekiranya pemecatan itu dilakukan dengan segera, ia juga akan menyulitkan kewangan GLC berikutan kerajaan negeri perlu membayar pampasan kepada pegawai kanan yang terlibat.
“Seperti dalam manifesto PH, kita berjanji akan menyediakan unit audit kepada semua GLC dan ia akan dibentangkan kepada Dewan Undangan Negeri. Ketika itu, saya percaya semua akan mendapat maklumat mengenai perkara ini.Buat masa ini saya tidak mahu dedahkan GLC itu.
“Setakat ini, saya tiada jumlah sebenar (pegawai kanan yang akan dipecat). Kita perlu lakukan dengan penuh bijaksana kerana tujuan kita bukan untuk membuang orang namun ia dilakukan untuk menyelamatkan syarikat milik rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan RM500,000 daripada Unisem (M) Berhad untuk Tabung Harapan Malaysia kepada kerajaan negeri Perak di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah memecat tujuh pegawai eksekutif GLC setelah didapati berbelanja melebihi yang sepatutnya.
Pemecatan tujuh pegawai eksekutif itu dilakukan susulan daripada peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan. – UTUSAN ONLINE










