LONDON 18 Jun – Seekor kura-kura berusia 100 tahun berjaya ditemukan seminggu selepas haiwan itu ‘melarikan diri’ dari rumah penjaganya di Blackfield, berdekatan Southampton.
Lapor Mirror Online, kura-kura berkenaan yang diberi nama Fred telah ‘melarikan diri’ sejauh 1.6 kilometer dari rumahnya walaupun hanya mampu bergerak sepantas 0.010 kilometer sejam.
Fred dijumpai oleh seorang pemandu kereta yang hampir melanggarnya.
Pemandu berkenaan membawa Fred pulang ke rumahnya sebelum melihat sebuah artikel dalam surat khabar tempatan mengenai kehilangan haiwan terbabit.
Lelaki itu kemudiannya mengembalikan Fred kepada pemiliknya, Terry Phelps, 86, dan isterinya, Sue, 73, yang bimbang akan kehilangannya.
“Saya tidak mampu membalas jasa baik penyelamat Fred. Saya tidak tidur nyenyak sejak haiwan itu hilang,” kata Terry yang telah menjaga Fred selama lebih 30 tahun.
Ketika Fred dilaporkan hilang, pasangan berkenaan mencarinya di kawasan berdekatan dan meminta bantuan jiran tetangga untuk mencepatkan usaha pencarian tersebut.
Malah rakan-rakan pasangan terbabit turut memuat naik berita kehilangan Fred di laman sosial.
“Kebiasaannya saya akan membuka pintu belakang pada waktu pagi dan melihat Fred berada di situ. Fred selalunya ‘menjerit’ meminta makanan, tetapi haiwan itu tiada di situ pada minggu lalu.
“Kanak-kanak di rumah bersebelahan sedih, mereka membawanya salad untuk memberi makan kepada Fred. Fred tinggal di kandang di taman rumah dan tidak pernah keluar dari situ,” jelas Terry.










