Korea Selatan belum sedia kibar ‘bendera putih’ - Utusan Malaysia

Korea Selatan belum sedia kibar ‘bendera putih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAINT PETERSBURG – Penyerang Korea Selatan, Lee Seung-woo enggan berputus asa untuk membawa pasukannya mara ke pusingan 16 pasukan terbaik menjelang aksi menentang Mexico pada perlawanan kedua Kumpulan F malam esok.

Pada aksi pembukaan, skuad kendalian Shin Tae-yong tewas kepada Sweden 0-1, manakala Mexico membuat kejutan menundukkan Jerman 1-0 hasil sentuhan Hirving Lozano.

Kini, Korea Selatan perlu berdepan Mexico dan sekiranya tewas kemungkinan untuk mereka tersingkir adalah sangat besar, sekali gus menyaksikan Taegeuk Warriors gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam tiga edisi sejak kempen 2002.

“Kami mampu mara sehingga peringkat 16 pasukan terbaik jika kepercayaan sepenuhnya diberikan kepada jurulatih dalam dua perlawanan terakhir.

“Sejak kecil impian saya adalah untuk beraksi pada Piala Dunia buat skuad kebangsaan. Kami belum bersedia mengibarkan ‘bendera putih’ hanya kerana satu kekalahan.

“Semua pemain percaya kami boleh melakukan yang terbaik kerana seluruh pasukan saling mempercayai antara satu sama lain,” kata Seung-woo.

Sementara itu, pasukan Asia lain me-raih keputusan yang berbeza apabila Arab Saudi hampir pasti tersingkir, manakala Iran gagal meneruskan rentak cemerlang apabila tewas kepada Sepanyol 0-1 awal pagi semalam. Jepun pula membuat kejutan selepas membenam Colombia yang hanya beraksi dengan 10 pemain.

“Wakil Asia telah menunjukkan kejutan dengan beberapa kemenangan dan saya yakin kami juga dapat melakukan yang terbaik dalam kempen Piala Dunia Rusia 2018,” kata pemain tengah Korea Selatan, Jung Woo-young. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN