ALOTENANGO, Guatemala – Pekerja-pekerja penyelamat semalam mengeluarkan lebih banyak mayat dari bawah abu dan runtuhan akibat letusan gunung berapi Fuego di Guatemala, menjadikan angka korban meningkat kepada sekurang-kurangnya 69 orang.
Ketua Institut Sains Forensik Kebangsaan, Fanuel Garcia berkata, 17 mayat telah dikenal pasti setakat ini.
Seramai 46 mangsa cedera dalam bencana itu, kebanyakannya serius, manakala lebih 1.7 juta orang terjejas termasuk 3,271 penduduk yang diarahkan berpindah dan 1,787 orang yang berada di pusat perlindungan sementara di daerah Escuintla, Sacatepequez dan Chimaltenango.
Gunung berapi setinggi 3,763 meter itu meletus Ahad lalu dengan menghamburkan abu dan serpihan batu bersama lumpur.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa angka kematian akan terus meningkat selepas operasi mencari mangsa terselamat dalam kalangan komuniti di selatan gunung berapi itu disambung semula.
Angka korban awal 25 orang meningkat dalam masa beberapa jam selepas lebih banyak mayat ditemui di kampung-kampung yang musnah.
“Terdapat orang hilang tetapi kami tidak tahu jumlah mereka,” kata pegawai agensi pengurusan bencana Guatemala, Sergio Cabanas sambil menambah, usaha untuk mengira bilangan penduduk di lereng gunung berapi itu sedang dilakukan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, beliau sedih dengan kehilangan nyawa dan kerosakan besar akibat letusan tersebut.
Menurutnya, PBB bersedia untuk membantu usaha menyelamat dan bantuan.
Presiden Guatemala, Jimmy Morales mengisytiharkan tempoh berkabung tiga hari dan melawat zon bencana. – AFP











