KETIKA mendaki cerun curam di tepi rumahnya, Fernando Solis Arguedas memeriksa sehelai daun daripada salah satu pokok berusia 50 tahun miliknya yang menghasilkan biji arabica untuk kopi neutral karbon pertama di dunia.
Disebabkan iklim yang tidak menentu menyebabkan tumbuhnya kulat roya. Beliau menjelaskan, mengurangkan semburan kimia dan menanam lebih banyak pokok menyumbang kepada harga yang lebih tinggi untuk kopinya, Coopedota.
Pengeluaran karbon neutral telah menjadi istilah buzz di Amerika Tengah yang mempunyai lima juta orang penduduk itu kerana banyak negara mahu menyekat pelepasan gas rumah hijau daripada sektor pertanian.
“Ia trend, tetapi membantu memasarkan kopi kami di pasaran antarabangsa dan jika harga pasaran adalah AS$120 (RM477), kami mungkin menerima AS$180 (RM715) atau AS$200 (RM795).
“Walaupun pada hakikatnya ia melibatkan kos yang tinggi, kami fikir kami memperoleh keuntungan yang lebih baik,” kata Solis, generasi ketiga dari keluarganya yang menanam kopi di bandar Santa Maria de Dota, kira-kira 70 kilometer di selatan ibu kota San Jose.
Kualiti tinggi
Costa Rica kini mempunyai tiga syarikat kopi pelepasan sifar termasuk beberapa pengeluar pisang, nanas dan lembu neutral karbon sekali gus meletakkan negara tersebut sebaris dengan negara sedang membangun.
Kopi bukan satu-satunya minuman bebas karbon. Syarikat-syarikat di Sri Lanka, India dan China telah menghasilkan teh pelepasan sifar karbon.
Pengeluaran kopi memainkan peranan penting dalam sejarah Costa Rica dan ia terkenal dengan kopi arabica berkualiti tinggi.
Ia adalah pengeluar kopi ke-14 terbesar di dunia walaupun menyumbang kira-kira satu peratus daripada kopi dunia.
Bagaimanapun dengan reputasi mahu menjadi negara mesra alam, Costa Rica menetapkan sasaran pada tahun 2007 untuk menjadi negara bebas karbon menjelang 2021.
Penanaman kopi menyumbang hampir 10 peratus daripada jumlah pengeluaran tersebut.
Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (AS), sektor pertanian, perhutanan dan penggunaan tanah lain di dunia menyumbang kira-kira 24 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau.
Tindakan memujuk petani kopi Costa Rica untuk menukar penggunaan baja bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan air atau menukar pulpa kepada biogas membantu mengurangkan kos alam sekitar, kata mereka yang terlibat dalam industri kopi.
Ramai yang dapat menerima perubahan cuaca yang mempengaruhi masa depan pengeluaran dan mendorong kerajaan untuk meningkatkan larangan penanaman pokok robusta kepada 30 tahun yang dipercayai lebih tahan panas dan penyakit berbanding arabica.
Bagaimanapun mencari pengguna kekal menjadi cabaran utama kerana menghasilkan kopi pelepasan sifar karbon.
Di kilang Coopedota yang luas di Santa Maria de Dota, berjuta-juta biji kopi dimasukkan ke dalam karung.
Di dalam bilik kawalan kualiti pula, dua orang penguji menguji berpuluh-puluh cawan kopi dan membandingkan aroma sebelum menuang bakinya ke dalam bikar keluli.
Walaupun kini telah disenaraikan sebagai syarikat kopi neutral karbon pertama di dunia, 900 anggota awalnya merancang untuk mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan tetapi mereka menyedari bahawa alam sekitar memberi manfaat kepada proses baharu tersebut.
Kini dengan penggunaan air yang berkurang sebanyak 80 peratus manakala tenaga menjadi 40 peratus lebih rendah, sekam kopi digunakan untuk mengeringkan biji kopi di dalam silinder, kata pengurus alam sekitar, Adrian Cordero.
Coopedota mengesan pelepasan yang dihasilkan pada setiap peringkat bermula dari proses menanam dan penyemaian benih, mengambil kopi dari ladang untuk dibuang pulpa, dikeringkan dan panggang.
Cordero berkata, separuh daripada hasil kopinya dieksport ke AS dan selebihnya ke pasaran baharu di Asia kerana pengguna sanggup membayar harga yang lebih tinggi.
“Aspek sosial dan alam sekitar menyebabkan harga kami tidak turun,” katanya kepada Yayasan Thomson Reuters.
Cordero mengakui bahawa proses menghasilkan kopi neutral karbon adalah perlahan dan memerlukan pelaburan awal yang besar untuk Coopedota.
Persaingan
Syarikat pengeluar itu menandatangani kontrak beberapa tahun lebih awal agar petani mengubah cara menanam benih kopi.
Bagaimanapun persaingan daripada pengeluar kopi yang lebih besar seperti Brazil memberi kelebihan kepada kopi Costa Rica, kata pengurus teknikal di Institut Kopi ICAFE negara tersebut, Carlos Fonseca Castro.
Costa Rica adalah negara pertama mengamalkan rancangan Tindakan Mitigasi Negara (NAMA) bagi membantu pengeluar kopi.
“Tidak semestinya mahal tetapi ia merubah mentaliti semasa pengeluaran dan pemprosesan kopi,” katanya.
Sementara itu, ketua program pengeluaran pertanian agro persekitaran Kementerian Pertanian, Roberto Azofeifa berkata, latihan dan pinjaman membantu petani mengurangkan impak alam sekitar. – Reuters











