KUALA LUMPUR 1 Jun – Gerakan koperasi boleh dijadikan platform kepada kaum bumiputera khususnya orang Melayu untuk mempertingkatkan kedudukan ekonomi mereka.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi boleh dijadikan antara pilihan baharu rakyat bagi memperbaiki taraf ekonomi sekali gus secara tidak langsung boleh menyelesaikan pelbagai masalah sosial yang berpunca akibat kemiskinan.
Beliau pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Utusan khususnya menerusi akhbar Utusan Malaysia yang kerap mempromosikan perkembangan industri koperasi di negara ini.
“Berdasarkan pertambahan jumlah koperasi yang setiap tahun mencecah sehingga 1,000 buah koperasi baharu diwujudkan, membuktikan bahawa masyarakat telah menerima baik gerakan koperasi sebagai satu medium pembangunan ekonomi.
“Di Malaysia kita ada pilihan dan bagi kaum bumiputera atau Melayu, kita bukan masyarakat yang terlalu berpendapatan tinggi. Oleh itu platform terbaik kepada kita adalah menerusi koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis meraikan anak-anak yatim Kumpulan Utusan bersama Angkasa sempena Nuzul Quran berserta majlis berbuka puasa di Dewan Besar Utusan, Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Timbalan Presiden Angkasa, Mutadho Bahri.
Dalam majlis itu, kira-kira 40 anak yatim daripada Kumpulan Utusan serta Pusat Jagaan Darul Sakinah, Petaling Jaya, Selangor diraikan.
Sementara itu, Mohd. Noordin mengucapkan terima kasih kepada Angkasa yang buat kali ketujuh menaja program bersama anak-anak yatim serta hidangan berbuka puasa bersama warga Kumpulan Utusan.
Beliau mengharapkan hubungan kedua-dua pihak berterusan dalam menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan serta perniagaan terutama melibatkan perkembangan koperasi di negara ini.










