KUALA LUMPUR 20 Jun – Calon Presiden UMNO, Khairy Jamalauddin bersedia menyahut cabaran Tengku Razaleigh Hamzah untuk berdebat pada bila-bila masa.
Walau bagaimanapun, Khairy berkata, perbincangan mengenai perjalanan debat itu perlu dilakukan termasuk siapa yang layak menjadi moderator.
“Ok, sudah tentu, kenapa tidak. Kena bincang siapa yang akan jadi hos dan sebagainya seperti deklarasi (harta) serta membuat persiapan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Semalam, Tengku Razaleigh yang juga calon Presiden UMNO dalam satu temubual di stesen televisyen swasta mencabar Khairy dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berdebat.
Jelas Khairy, rakyat juga ingin melihat debat tersebut diadakan bagi menunjukkan kekuatan demokrasi parti dan politik negara.
“Calon diuji dan diukur melalui pemikiran, idea serta kesungguhan melalui visi yang jelas kepada rakyat.
“Mesej saya juga jelas iaitu untuk menguatkan UMNO supaya diterima oleh rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE










