Khairy tanding Presiden - Utusan Malaysia

Khairy tanding Presiden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Jun – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyi­fatkan keputusannya ber­tan­ding jawatan Presiden UMNO adalah bagi memberi lebih pilihan kepada para perwakilan parti sebelum mereka membuat keputusan yang terbaik untuk UMNO.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, walaupun tidak mempunyai pengalaman yang luas berbanding calon-calon lain bagi jawatan tersebut, keputusan yang dibuatnya itu juga adalah demi masa hadapan dan survival UMNO.

“Memandangkan pertandi­ngan di peringkat tertinggi UMNO kali ini adalah terbuka, saya mahu para perwakilan parti diberi pelbagai pilihan sebelum mereka membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk UMNO.

“Sudah pasti, saya tidak mempunyai pengalaman yang luas seperti calon-calon yang lain tetapi saya mahu perwakilan diberi satu lagi pilihan yang mewakili peralihan generasi dalam UMNO.

Satu pilihan yang pada prinsipnya melihat bagaimana parti kita dapat dibina semula mengikut acuan terkini tanpa melupakan asas penubuhan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu katanya, keputusan untuk bertanding bagi jawatan Presiden tersebut tidak mudah untuk dibuat malah sehingga beberapa hari yang lepas beliau tetap dengan pendirian hanya mahu bertanding bagi jawatan Naib Presiden UMNO sahaja.

“Dengan rasa tawaduk dan penuh keinsafan, borang pencalonan saya untuk pemilihan UMNO telah diserahkan ke ibu pejabat UMNO sebentar tadi. Saya terdahulunya terpaksa meminta agar borang asal saya yang diserah pada 1 Jun 2018 bagi jawatan Naib Presiden UMNO ditarik balik, borang pencalonan saya yang terkini adalah untuk jawatan Presiden UMNO,” katanya.

Borang pencalonan Khairy untuk jawatan tersebut telah di­serah­kan oleh bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid pada pukul 3 petang tadi.

Khairy turut berikrar untuk bekerja sepenuh jiwa dan raga, bersama-sama de­ngan rakan-rakan seperjuangan dalam parti agar UMNO dikembalikan kepada roh asal dengan jasad yang baharu.

“Roh yang saya maksudkan adalah parti Melayu yang inklusif, dengan menunjukkan keterangkuman yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia. Parti yang membuka ruang kepada setiap lapisan masyarakat, bukan hanya golongan atasan, bangsawan, korporat dan elit sahaja, parti untuk orang biasa.

“Parti yang menjaga kepenti­ngan orang biasa. Parti yang tidak rasis, tidak seksis, tidak jumud dan tidak lagi pekak terhadap kehendak rakyat jelata. Parti yang berjiwa besar terhadap kaum-kaum lain dan mungkin satu hari nanti Barisan Nasional boleh dibina semula sebagai satu rumah besar untuk semua,” katanya.

Jasad yang baharu pula maksudnya adalah penstrukturan semula parti secara total dengan UMNO mesti mengembalikan semangat keterbukaan dalam segala aspek.

“Terbuka untuk bertanding. Terbuka untuk menegur dan mengkritik pemimpin tanpa dipecat. Terbuka untuk menerima ahli-ahli baharu tanpa sekatan dan terbuka untuk para perwakilan menentukan siapa yang akan menerajui UMNO dan bebas daripada cengkaman ‘warlords’,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN