KGP Perlis tumpaskan PPKL dalam pertandingan golf - Utusan Malaysia

KGP Perlis tumpaskan PPKL dalam pertandingan golf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 18 Jun – Pasukan Pilihan Kelab Golf Putra (KGP) negeri menumpaskan Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) dalam pertandingan golf merebut Piala Pusingan Yang Amat Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra di lapangan KGP Perlis di Batu Pahat di sini semalam.

Pertandingan tersebut yang masuk tahun ke-26 penganjurannya diadakan bersempena dengan kepulangan anak-anak Perlis di perantauan.

Dalam pada itu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Sementara itu, ketika berucap, Yang Dipertua PPKL, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman memaklumkan bahawa PPKL terus aktif melaksanakan pelbagai aktiviti selain khidmat bakti kepada masyarakat termasuklah di Perlis.

Katanya, pada bulan Ramadan baru-baru ini, PPKL telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak Perlis di Lembah Klang.

“Bersempena hari raya ini pula, selain pertandingan golf, PPKL juga menganjurkan perlawanan bola sepak antara PPKL dengan bekas para pemain Perlis di era 90-an dalam perlawanan yang dikenali sebagai ‘Bola Raya’ di Stadium Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau pada malam yang sama,” katanya.

Selain itu, PPKL juga meneruskan khidmat bakti melalui penajaan kelas tuisyen kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan di Perlis dengan kerjasama Centre for Education and Development (CDEV).

Selain itu, PPKL turut mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak seperti Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Jemaah Datuk-Datuk Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Jabatan Pendidikan negeri dan lain-lain lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN