Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang janji hormati tugas media - Utusan Malaysia

Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang janji hormati tugas media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 23 Jun – Kerajaan negeri Pulau Pinang memberi jaminan tidak akan mengamalkan dasar memilih media tertentu membabitkan urusan rasmi kerajaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada bulan lepas, unit komunikasi korporat beliau telah menghantar jemputan kepada semua agensi media di negeri ini jika terdapat programnya.

Katanya, terpulang kepada media sama ada mahu memberi liputan kepada program yang dihadiri beliau atau sebaliknya.

“Apa yang berlaku baru-baru ini harus dijadikan pengajaran kepada unit media yang menjaga ahli politik. Berdasarkan pengetahuan saya, pihak terlibat telah memohon maaf dan isu dianggap selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran kerajaan negeri di Padang Kota, di sini malam ini.

Kon Yeow berkata demikian sebagai mengulas isu dibangkitkan seorang wartawan portal di negeri ini yang meluahkan kekecewaan terhadap Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri , Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kerana mendakwa mereka tidak mesra ketika melayani soalan pemberita dalam satu majlis rumah terbuka Aidilfitri di Permatang Pauh, di sini baru-baru ini.

Selain itu, wartawan berkenaan juga meluahkan kritikan terhadap pasukan media yang menguruskan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dengan menyifatkannya sebagai pasukan media yang teruk. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN