JAKARTA 29 Jun – Kerajaan telah mengenal pasti syarikat dari Indonesia yang akan bekerjasama dengan Proton dalam merealisasikan kereta buatan Malaysia-Indonesia.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mengumumkan nama syarikat tersebut memandangkan projek kereta untuk pasaran ASEAN itu tidak melibatkan kerajaan Malaysia secara langsung.
“Kerjasama itu terhenti kerana saya menjadi persona non grata kepada kerajaan Malaysia. Jadi projek itu tidak diteruskan.
“Saya harap kita dapat hidupkan semula perancangan ini. Secara prinsip ia diterima,” katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di akhir lawatan rasmi selama dua hari di Indonesia di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, usaha untuk merealisasikan projek kereta buatan Malaysia- Indonesia itu juga mendapat maklum balas yang positif daripada rakan sejawatannya, Presiden Joko Widodo atau Jokowi.
“Dia (Jokowi) nampak positif. Umumnya, kita mempunyai persefahaman yang agak baik antara kita berdua dan yang tinggal ialah pengurusan mengikut keputusan ini,” kata beliau.
Pada 2015, satu perjanjian persefahaman ditandatangani antara Proton dengan PT Adiperkasa Lestari bagi merealisasikan cita-cita Indonesia untuk memiliki kereta nasional sendiri. – UTUSAN











