PARIT BUNTAR 13 Jun – Kesukaran hidup seorang ibu tunggal, Sarina Musa, 46, yang menyara enam daripada lapan anaknya yang masih bersekolah selepas kematian suaminya yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini mendapat perhatian menjelang Aidilfitri.
Antara yang tampil membantu keluarga tersebut ialah usahawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini yang menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan di Kampung Parit Haji Amin, Simpang Lima dekat sini.
Usahawan berkenaan, Abdullah Sani berkata, dia terpanggil untuk membantu keluarga tersebut selepas membaca kisah mereka yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 3 Jun lalu.
Katanya, atas kesedaran untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan, dia bersama NGO menghulurkan sumbangan membeli baju raya untuk keluarga tersebut.
“Kami membeli keperluan untuk keluarga ini termasuk baju dan kasut raya dengan membawa mereka memilih sendiri pakaian yang disukai di pasar raya Mydin di sini.
“Saya tersentuh hati melihat keadaan mereka, anak-anak yatim yang merupakan golongan asnaf yang perlu dibantu,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Abdullah berkata, dia gembira kerana dapat menceriakan sebuah keluarga yang kurang berkemampuan menjelang Aidilfitri.
Katanya, sumbangan itu diharap dapat menjadikan keluarga tersebut menyambut Hari Raya dalam suasana gembira.
“Saya gembira kerana mereka ceria ketika memilih pakaian di Mydin dan diharapkan keceriaan ini berterusan untuk mereka yang akan berhari raya tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Cawangan Mydin Parit Buntar, Nazri Abdul Latiff berkata, pihaknya amat mengalu-alukan program sedemikian yang digerakkan NGO untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Kami sedia memberikan kerjasama untuk program khidmat sosial kepada golongan yang memerlukan bantuan seperti hari ini,” katanya.
Sarina membesarkan anaknya seorang diri selepas suaminya, Hashim Latib, 47, meninggal dunia akibat uzur dan sakit baru-baru ini setelah terlantar sejak April lalu.










