KOTA BHARU 27 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu melantik seorang menteri dari negeri ini meskipun gabungan parti itu gagal meraih sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
![]() |
|
SHEIKH AHMAD DASUKI
|
Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad berkata, ketiadaan wakil dalam kabinet itu dikhuatiri akan menyebabkan negeri ini terpinggir daripada arus pembangunan.
“Saya fikir, Kelantan wajar mempunyai sekurang-kurangya seorang menteri menerusi lantikan senator.
“Ini bagi memastikan, suara rakyat Kelantan didengar diperingkat pusat,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penularan senarai kabinet kerajaan PH yang tidak mempunyai wakil dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Ahmad Dasuki memberitahu, kerajaan sebelum ini pernah melantik seorang menteri dan timbalan menteri untuk mewakili suara rakyat Kelantan.
Katanya, tidak salah perkara tersebut diikuti oleh pimpinan PH bagi memastikan negeri ini terus dibangunkan. – UTUSAN ONLINE












