KOTA BHARU – Kelantan perlu memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri bagi memperolehi tiga mata penuh pada aksi Liga Super menentang PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam esok.
Penyerang Kelantan, Muhammad Danial Ashraf Abdullah mahu rakan sepasukannya menggunakan kelebihan bermain di gelanggang dan di hadapan penyokong sendiri untuk meraih kemenangan walaupun berdepan PKNS FC yang mempunyai barisan pemain berkualiti.
“Persefahaman pemain tempatan dan import (pasukan Kelantan) kini semakin bertambah baik untuk mencari tiga mata malam esok dan kami perlu bekerja lebih keras dan kami tidak boleh tercicir mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Pasukan Kelantan yang dibimbing Pemangku Jurulatih, Yusri Che Lah memerlukan kesemua kemenangan pada tujuh baki perlawanan liga Super bagi mengelakkan pasukan itu tersingkir ke Liga Premier musim depan.
Muhammad Danial Ashraf berharap ramai penyokong akan hadir memberi sokongan untuk pasukan mereka menang dalam perlawanan tersebut.
Kelantan kini berada di kedudukan ke-12 tercorot Liga Super dengan memperoleh 11 mata selepas 15 perlawanan apabila sekadar mencatatkan tiga kemenangan,dua seri dan 10 kali kalah. – Bernama










