LONDON – Peluang England untuk menundukkan Colombia pada pusingan 16 pasukan terbaik Kejohanan Piala Dunia 2018 FIFA Rabu depan semakin cerah selepas bintang pasukan Amerika Selatan itu, James Rodriguez mungkin tidak akan diturunkan selepas mengalami kecederaan ketika pasukannya menang 1-0 ke atas Senegal dalam aksi terakhir Kumpulan H, malam tadi.
Situasi itu dilihat merencatkan seketika kegembiraan kem Colombia yang melangkah ke saingan kalah mati buat kali kedua berturut-turut, sekali gus menjejaskan peluang mereka ke suku akhir.
Perancang Bayern Munich itu masih dihantui dengan kecederaan betisnya sejak awal kempen di Rusia ini dan tidak diturunkan pada aksi pertama ketika Colombia tewas 1-2 kepada Jepun.
Dia kemudian diturunkan pada aksi kemenangan Colombia 3-0 ke atas Poland dan dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan setelah mencipta dua peluang jaringan.
Namun pemain yang dipinjamkan dari Real Madrid itu beraksi hanya 31 minit pada pertemuan dengan Senegal sebelum dikeluarkan dipercayai akibat kecederaan yang sama.
“Saya sangat bimbang (keadaan Rodriguez) kerana ia satu masalah besar kepada kami.
“Dia berlatih dengan biasa bersama kami sehingga semalam. Dia cergas sepenuhnya dalam latihan dan tiada menunjukkan sebarang kesakitan ketika sesi terakhir.
“Buat masa ini, saya tidak tahu apa tahap kecederaannya,” jelas jurulatih Colombia, Jose Pekerman.
Empat tahun lalu Colombia berjaya mara ke suku akhir sebelum tumbang kepada tuan rumah, Brazil.
Rodriguez menjadi tonggak penting di atas kejayaan mereka itu dengan meledakkan enam gol, satu jumlah jaringan yang besar bagi pemain Colombia.
Pemain berusia 26 tahun itu mula menyertai skuad kebangsaan negaranya sejak 2011 dengan menyumbang 21 gol dalam 55 penampilan antarabangsa. – Agensi









