TELUK INTAN 10 Jun – Karnival Aidilfitri di Dataran Menara Condong di sini yang diadakan sempena Hari Raya Aidilfitri dijangka mampu menjana pulangan sehingga RM1 juta.
![]() |
|
AHMAD ISHAK
|
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, tahun lalu sebanyak RM853,390 diperoleh oleh usahawan yang mengambil bahagian dalam karnival jualan yang berkonsepkan agrotourism itu.
Katanya, memandangkan sambutan yang amat baik daripada pengguna, sasaran nilai jualan karnival kali ini dijangka mampu dihasilkan oleh 29 usahawan yang mengambil bahagian dalam karnival itu.
“Saya berpuas hati melihat produk yang dijual di sini dibungkus rapi, menarik dan lengkap dengan maklumat yang terkini.
“Saya percaya dengan peningkatan kualiti produk dan pembungkusan, pengguna akan lebih yakin terhadap produk yang dihasilkan oleh usahawan termasuk usahawan dari kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Aidilfitri Peringkat Daerah Hilir Perak di Dataran Menara Condong di sini, semalam.
Karnival yang bermula pada 1 Jun lalu akan berakhir pada 14 Jun ini iaitu pada malam raya.
Karnival tersebut memberi peluang kepada 29 usahawan di bawah bimbingan FAMA memasarkan pelbagai jenis produk yang mereka hasilkan.
Pelbagai jenis barang khususnya yang berkaitan dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya terutamanya kuih-muih dijual di karnival itu.
Antaranya adalah kuih baulu, kerepek pisang dan kerepek ubi kayu, biskut kelapa bakar, dodol durian, kuih siput serta kuih-kuih moden lain.
Selain penduduk tempatan, peserta yang mengambil bahagian dalam karnival itu datang dari Bagan Datuk, Sungai Samak Hutan Melintang, Pasir Salak, Sungai Besar dan Taiping.
Karnival Aidilfitri telah bermula sejak 2005 di Menara Condong di sini dan setiap tahun sambutannya semakin meningkat.
Selain menjadi tempat untuk memasarkan produk usahawan kecil, karnival itu juga membantu pengguna membeli barang keperluan pada harga yang rendah dan berpatutan.











