Kanak-kanak didakwa ‘lemas’ ditemui selamat - Utusan Malaysia

Kanak-kanak didakwa ‘lemas’ ditemui selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang pada awalnya dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Kampung Aur, dekat sini, ditemui selamat malam tadi. 

Kanak-kanak itu, Mohd. Azim Iqram Mohd. Amin ditemui berjalan kaki seorang diri di tepi jalan sekitar kawasan Tok Bali di Pasir Puteh oleh orang awam sebelum diserahkan ke Balai Polis Cherang Ruku kira-kira pukul 9 malam tadi. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar berkata, kes lemas yang didakwa melibatkan kanak-kanak itu dibuat ibu sepupunya, Zarina Mohamad, 44, menerusi talian kecemasan berpusat (MERS) selepas Azim Iqram gagal ditemui pada pukul 7 malam. 

Menurutnya, keluarga murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Klang, Selangor itu pulang bercuti  beraya di kampung halaman  mengambil kesempatan berkelah di pantai berkenaan. 

“Pasukan penyelamat ditubuhkan dan melancarkan gerakan mencari sehingga dimaklumkan kanak-kanak terbabit ditemui oleh seorang lelaki dan menyerahkannya di Balai Polis Cherang Ruku malam tadi. 

“Kanak-kanak tersebut disahkan tidak mandi pantai tetapi dipercayai sesat serta gagal menemui keluarganya. Dia masih berpakaian lengkap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Azmi berkata, Azim Iqram diserahkan kepada Ketua Balai Polis Cherang Ruku, Sarjan Mejar Mat Sood Mat Piah yang kemudiannya mengambil tindakan melaporkan penemuan itu.

Menurutnya, ibu kanak-kanak terbabit, Zailani Woh, 42, tampil membuat pengecaman di balai polis berkenaan sebelum menuntut anaknya pada pukul 12 malam tadi. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN