MARAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun maut selepas dikelar ibu kandungnya di Felda Jengka, dalam satu kejadian di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia apabila tiba di Hospital Jengka di sini akibat parah dikelar pada leher menggunakan senjata tajam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, suspek berusia 31 tahun dipercayai mengalami halusinasi sebelum bertindak mengelar bahagian leher anak bongsu daripada tiga beradik itu di bilik tidurnya sebelum disedari suami yang pulang ke rumah
“Berdasarkan siasatan awal, suspek tidak mempunyai masalah atau rekod mengalami gangguan mental. Kami dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.45 malam oleh kakitangan Hospital Jengka yang menghubungi Balai Polis Bandar Pusat Jengka.
“Sebaik menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota kami serta dibantu Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikejarkan ke lokasi kejadian iaitu rumah keluarga terbabit bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan awal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya lagi, pihaknya sudah merekodkan keterangan bapa mangsa.
“Bapa mangsa sempat menolak suspek sebelum mengambil mangsa untuk dibawa ke Hospital Jengka bagi tujuan pemeriksaan, namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu,” ujarnya. – K! ONLINE










