Kaji semula isu tarik penempatan tentera di Arab Saudi - Utusan Malaysia

Kaji semula isu tarik penempatan tentera di Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Jun – Cadangan Kabinet yang mahu menarik semula penempatan tentera Malaysia di Arab Saudi adalah sesuatu yang melulu dan tindakan tersebut perlu dinilaikan sebaik mungkin.

Hal ini kerana tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan hubungan baik yang terjalin di antara dua negara malah pelbagai lagi faktor lain secara tidak langsung boleh menjejaskan rakyat.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata, walaupun tidak melibatkan peperangan, kehadiran tentera Malaysia di sana sebenarnya merupakan simbolik kepada perpaduan dan hubungan diplomatik antarabangsa.

“Penarikan penempatan ketenteraan kita umpama menurunkan prestij Malaysia di mata dunia sedangkan selama ini ia menunjukkan kebersamaan sesama ahli Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diterajui Arab Saudi.

“Jadi saya berpendapat Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu perlu mengambil pandangan tidak terlalu ghairah dalam membuat keputusan tanpa ada penilaian yang komprehensif demi manfaat kepada negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Shukri berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mohamad mengenai keputusan yang dibuat itu adalah untuk mengelakkan pembabitan Malaysia dalam pe¬perangan antara Arab Saudi dan Yemen sebelum ini.

Dalam pada itu, Shukri berkata, hubungan Malaysia dengan Arab Saudi tidak tertakluk kepada ekonomi dan diplomasi sahaja malah turut membabitkan soal ibadah.

“Selama ini Arab Saudi memandang tinggi pengurusan serta jemaah dari Malaysia terutamanya dalam situasi yang melibatkan ibadat haji serta umrah.

“Sekiranya Malaysia membuat sesuatu penarikan yang mungkin membuatkan Arab Saudi ‘berkecil hati’, kita perlu risaukan kesannya terhadap jemaah dari negara ini yang sudah bersiap sedia mahu menunaikan ibadah di sana,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN