KUALA LUMPUR – Datuk A. Kadir Jasin hari ini meletak jawatan sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan berkuat kuasa serta merta.
A. Kadir berkata, beliau membuat keputusan itu demi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat berkaitan peranannya dalam Majlis tersebut serta pandangan beliau dalam blog dan kolum mingguan di
akhbar Sinar Harian.
“Sebagaimana yang saya tegaskan dalam mukadimah blog saya, segala pendapat yang saya zahirkan di dalamnya adalah pendapat saya semata-mata. Saya menulis atas kapasiti sebagai seorang blogger dan tiada kaitan dengan sebarang jawatan yang mungkin saya pegang.
“Bagaimanapun, wartawan dan pihak lain yang memetik pandangan saya terus mengaitkannya dengan kedudukan saya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Justeru bagi mengelak kesipuan kepada Majlis dan percanggahan kepentingan di pihaknya, A. Kadir berkata, beliau telah memohon untuk mengundur diri dan keputusan itu telah dipersetujui oleh Pengerusi Majlis itu Tun Daim Zainuddin. – Bernama











