Kad kesetiaan YaPEIM hargai pelanggan setia - Utusan Malaysia

Kad kesetiaan YaPEIM hargai pelanggan setia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM usaha menyediakan apresiasi kepada pelanggan dan penyumbang setia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperkenalkan Kad Privilege YaPEIM di Jalan Pahang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Objektif utama pelaksanaan itu adalah untuk memperkukuhkan perkhidmatan sedia ada, sekali gus menghargai kumpulan yang sentiasa setia kepada YaPEIM.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abibullah Samsudin berkata, mereka menyasarkan 300,000 pelanggan memiliki kad berkenaan dalam tempoh lima tahun.

Katanya, pemilik kad itu mendapat keistimewaan untuk menikmati kemudahan diskaun dan mata ganjaran bagi pembelian di beberapa premis perniagaan yang ditawarkan YaPEIM selain hadiah pelanggan bertuah bulanan.

Antara pihak yang diberi penghargaan adalah pelanggan (penggadai Ar-Rahnu YaPEIM), pembeli produk YaPEIM Gold, Tabung Ibadah Qurban YaPEIM dan penyumbang skim sumber amal YaPEIM melalui program Kesetiaan dan Keistimewaan YaPEIM.

Kerjasama strategik

“Yuran keahlian RM10 dan pelanggan akan mendapat kad istimewa ini, sekali gus layak menikmati keistimewaan yang ditawarkan.

“Pelaksanaan ini diharap akan menambah pelanggan setia YaPEIM dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Antara pelanggan yang hadir pada program itu terdiri daripada pelanggan Ar-Rahnu YaPEIM, Peserta Tabung Ibadah Qurban YaPEIM dan Pelanggan YaPEIM Gold.

Selain itu, Abibullah menambah, program YaPEIM sebelum ini berjaya menarik sebanyak 1.5 juta pelanggan setia.

Atas dasar itu, satu inisiatif diambil oleh YaPEIM untuk meneroka program kesetiaan tersebut dengan lebih efektif.

Mereka bersetuju untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat RealReward Resources Sdn. Bhd., yang mempunyai pengalaman lebih 18 tahun dalam menguruskan Program Kesetiaan Pelanggan dan Pembekal Sistem di Malaysia.

Jelasnya lagi, menurut data daripada Wikipedia, sehingga tahun 2016 dianggarkan keahlian bagi Program Kesetiaan di seluruh dunia adalah melebihi lima juta ahli.

“Ini menunjukkan bahawa program kesetiaan merupakan salah satu strategi pemasaran yang diguna pakai oleh seluruh syarikat di dunia bagi menghargai pelanggan setia mereka,” ujarnya.

Katanya, untuk menyertai keahlian Privilege YaPEIM, pelanggan mestilah warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun.

Sehubungan dengan itu, Abibullah berkata, beliau berharap pelanggan setia YaPEIM mendapat kepuasan keseluruhan, keperluan untuk melakukan hubungan berterusan dan menyebarkan kepada pihak luar.

Sementara itu, seorang pemenang emas bulanan YaPEIM, Abd. Rashid Mohamad berkata, dia selalu membeli produk-produk keluaran YaPEIM dan perkhidmatan yang ditawarkan antaranya Ar-Rahnu dan YaPEIM SMART.

“Saya datang awal pagi lagi untuk mendapatkan kad ini. Jika datang lewat saya risau ia akan habis.

Kumpul bonus

“Bagi saya, kad ini amat baik kerana dapat menarik minat pelanggan untuk terus bersama YaPEIM,” katanya.

Abd. Rashid menambah, inisiatif ini memberi peluang kepada pelanggan-pelanggan untuk mengumpul bonus atas pembelian yang dilakukan.

Jelasnya lagi, pendekatan yang diperkenalkan itu juga secara tidak langsung dapat menyumbang impak yang berkesan daripada aspek keyakinan pelanggan-pelanggan.

“Ini kerana pelanggan-pelanggan setia YaPEIM berasakan bahawa mereka mendapat kepuasan dan penghargaan daripada syarikat.

“Pada pendapat saya, pelancaran kad ini akan membuatkan pelanggan-pelanggan terus menyokong produk-produk keluaran YaPEIM,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN