KUALA LUMPUR 26 Jun- Penerbit Gayatri Su-Lin Pillai menyerahkan soal jodoh antara dia dan pelakon Zul Ariffin kepada Tuhan.
Jelasnya sehingga ke hari ini juga dia tidak pernah membuat sebarang penjelasan mengenai hubungan yang terjalin dengan pelakon itu kerana lebih senang untuk membiarkan orang di luar sana berteka teki.
“Saya serahkan kepada Tuhan soal jodoh.
“Soal hubungan dengan Zul saya akan biarkan mereka di luar sana berteka teki. Bagaimanapun hubungan saya dengan Zul memang baik,” katanya ketika ditemui pada majlis perlancaran filem Hantu Kak Limah terbitan syarikat produksinya Infinitus.
Mengakui memahami sikap Zul, tambah Gayatri dia juga tidak menolak untuk berasa selesa berkawan dengan jejaka berusia 32 tahun itu.
Walaupun berbeza usia, Gayatri turut memberitahu yang Zul sebenarnya jauh lebih matang berbanding dirinya.
“Ya, saya selesa berkawan dengan dia dan memahami dirinya sebagai seorang sahabat. Dalam soal ini saya akui dia sebenarnya jauh lebih matang dari saya,” katanya.
Sementara itu Gayatri yang juga berkongsi sambutan hari raya tahun ini turut memberitahu yang ada sedikit perbezaan sambutan yang dibuat oleh Zul Ariffin memandangkan pelakon tersebut baru sahaja kehilangan ibu tersayang tahun lalu.
“Memang berbeza sebab tahun ini juga dia tidak pulang ke kampung.
“Saya juga sempat menyambut Aidilfitri bersama Zul dan adik beradiknya di sini pada sambutan raya pertama,” katanya. – UTUSAN ONLINE











