PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia tidak mempunyai rekod bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos telah meninggalkan negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kedua-dua individu itu juga sudah disenarai hitam daripada pergi ke luar negara dan jika didapati ke luar negara tanpa rekod, ia merupakan satu kesalahan.
“Kita tidak tahu di mana kedua-dua individu ini berada. Orang kata terlihat kelibat mirip Musa di luar negara. Imigresen tidak tahu sebab kita tiada rekod mereka ke luar negara.
“Kalau keluar tanpa rekod itu satu kesalahan dan mereka akan diambil tindakan,” katanya mengulas laporan yang mendakwa individu mirip Musa kelihatan di London, United Kingdom (UK) manakala Jamal pula dikatakan berada di Indonesia.
Pada sidang akhbar semalam, Mustafar berkata, jika mereka keluar menerusi pintu tidak sah, ia menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/1963. Jika sabit kesalahan individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama lima tahun.










