TANJONG KARANG 17 Jun – Dua bentuk cincin emas seorang wanita terpaksa dipotong selepas jarinya membengkak dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi ini.
Mangsa, 51, yang ditemani suaminya datang sendiri ke Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang bagi mendapatkan bantuan.
Difahamkan, kedua-dua pasang cincin itu tersekat pada jari manis dan jari hantu mangsa sejak semalam dan cubaannya untuk menanggalkan cincin berkenaan termasuk menyapu minyak gagal sebelum mengambil keputusan mendapatkan khidmat bomba.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Pegawai Bomba Asmori Mansor berkata, pihaknya memotong dua cincin emas itu menggunakan peralatan khas ‘air ring cutter’.
Katanya, anggota bomba mengambil masa kira-kira 5 minit untuk memotong dua bentuk cincin berkenaan.
“Memandangkan meterial cincin emas ini lembut, jadi tempoh masa diambil untuk melakukan operasi pemotong adalah singkat,” katanya.
Jelasnya, walaupun meterial cincin emas itu lembut, tetapo proses pemotongan kedua-dua cincin berkenaan dilakukan dengan teliti.
“Hasilnya, cincin-cincin itu berjaya dipotong tanpa mencederakan jari mangsa sebelum cincin itu kemudiannya diserahkan kembali kepada mangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE










