KUALA LUMPUR 3 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya memandang ringan terhadap kepercayaan yang diberikan rakyat untuk mentadbir negara dengan memberi justifikasi sambil lewa dalam semua keputusan diambil oleh mereka termasuk pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (HSR).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau terkejut dengan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila secara lewa menyatakan negara tidak akan untung sesen pun, namun pada masa sama, menyatakan kerajaan akan membayar pampasan sebanyak RM500 juta kepada Singapura.
Menurutnya, Perdana Menteri perlu mengambil tanggungjawab menjalankan kajian terperinci dan menerangkan komprehensif kepada rakyat serta pelabur tentang analisis kos dan manfaat projek itu secara keseluruhan, bukannya mengambil mudah dengan memberikan jawapan cetek tanpa membuat kajian teliti.
“Ya, PH diberi kepercayaan rakyat mentadbir negara, tetapi jangan pandang ringan kepercayaan ini dengan memberi justifikasi sambil lewa dalam semua keputusan yang mereka ambil. Rakyat bijak menilai,” katanya menerusi klip video 2 minit 49 saat yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya hari ini.
Jelas Najib, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah membuat kajian terperinci bertahun-tahun dan mendapati hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) projek HSR adalah sebanyak RM209 bilion berbanding kosnya kira-kira RM70 bilion.
“Sumber pendapatan projek pemangkin ekonomi HSR menjangkaui jualan tiket tetapi dari segi peningkatan nilai hartanah, kewujudan 442,000 peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, kepesatan ekonomi setempat dan pelancongan,” katanya.
Beliau turut membandingkan HSR dengan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang masih menanggung hutang sehingga kini.
“Projek itu juga masih menanggung hutang sejak 1988 sehingga kini, malah berbaki 25 tahun lagi. Namun, apakah pantai barat Semenanjung akan maju tanpa PLUS?” soalnya.
Menurut Najib, sepanjang sembilan tahun menjadi Perdana Menteri, beliau berusaha membina kemudahan infrastruktur dan pelbagai program bantuan untuk rakyat.
“Antara yang kerajaan BN tinggalkan adalah Lebuh Raya Pan Borneo, Projek Transit Aliran Massa (MRT), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Projek Central Spine Road (CSR) Pahang-Kota Bharu, Jambatan Pulau Pinang Kedua, Kota Iskandar dan banyak lagi,” katanya.









